Thursday, October 21, 2010

Travelog Umrah 4 - Iftar Yang Menggetar, Tarawih di Ruang Terpilih

Untuk aktiviti siang, aku masih mengekalkan formula yang biasa aku guna untuk ziarah yang lepas.  Masuk Masjid bermula waktu Zohor dan beriktikaf hingga Asar.  Selepas Asar, balik ke hotel untuk mandi dan berehat sekejap.  Lebihkurang setengah jam, kembali ke Masjid untuk iftar dan solat Maghrib. Kemudian kembali ke hotel dan sesudah mengisi perut dengan nasi, berehat dibilik sekejap.  Setengah jam sebelum Isya baru kami ke Masjid.  Ini winning formula untuk bulan puasa.  Memang selepas Asar hingga habis tarawih aktiviti sangat padat.  Tapi kepenatan itu memberi kepuasan luarbiasa - tidak kita mampu melakukanya jika bukan di bumi Haramain.

Aku kembali ke Masjid lebih kurang 1 jam sebelum waktu zohor.  Musim panas ramai jamaah prefer berada di dalam Masjid.  Suhu di dataran sangat panas kerana terik mentari bersatu dengan refleksi haba dari lantai marmar cukup memeritkan.  Hanya jamaah dari Afrika, India dan Pakistan yang agak robust sanggup berada diluar Masjid dalam cuaca sebegini.  Walaupun aku sudah masuk 1 jam sebelum waktu, ruang sudah padat disebabkan ramai yang masih lena dibuai mimpi diulit aircond nyaman Masjid.  Perlu mencari ruang yang rongak untuk aku memulakan iktikaf.  Insyallah ada tempat untuk ku.  Biasanya waktu antara Zohor-Asar ku habiskan untuk mengaji Al-Quran atau ziarah Makam Rasul SAW.  Hanya disini aku mampu melakukannnya..

Suasana dalam Masjid beberapa jam sebelum Zohor adalah waktu yang paling lapang...
Di Majid Nabawi, ada sedikit kelonggaran untuk membawa makanan iftar ke Masjid.  Masjid yang penuh dengan limpahan rahmat Allah ini memang mempunyai ramai penaja setiap hari.  Biasanya mereka akan mula membawa makanan masuk sesudah solat Zohor.  Iftar di Saudi sangat ringkas - makanan yang common ialah roti bulat (rupa macam donut/bagel), laban (susu masam), rempah (tabur di atas laban sebelum dicicah dengan roti), rotab (fresh kurma) dan teh/kopi berempah.  Untuk yang menaja nasi arab, makanan akan dihidang di dataran.  Sesudah Asar, safrah plastik akan dibentang dan makanan ini akan diatur selonggok2.  Jika di dalam Masjid kawasan wanita, biasanya makanan akan terus diberi dan tidak semuanya disusun atur kerana keadaannya yang padat. Hubby cakap bahagian lelaki makanan diatur seperti di dataran juga, mungkin kerana ruang solat lelaki di dalam Masjid lebih luas dari wanita.

Tong Zam-Zam terletak rapi di setiap lorong laluan - Gambar ni aku snap waktu pagi - ini sajalah waktu yang org tak berkerumun nak ambil air Zam-Zam kerana tong ini akan dikosongkan waktu siang..
Banyak gambar yang aku ambil kat dataran saja.  Agak sukar aku nak ambil gambar dalam Masjid kerana camera phone sebenarnya tidak boleh dibawa masuk.  Malas nak cari pasal dengan askar Masjid, kalau2 dia ternampak.  Ada juga beberapa gambar yang aku ambil didalam Masjid - tu pun kena pandai timing.  Pandai2 la nak sembunyi masa snap tu..  Gambar kat bawah ni aku snap bila nak balik ke Hotel selepas solat Asar.  Lupa pula nak ambik gambar bila jemaah dah penuhkan ruang ni..

Penaja biasanya memberi tugas packing dan mengatur makanan kepada pekerja mereka, biasanya pekerja lelaki dari warga Pakistan atau India dan pekerja wanita rata-rata warga Indon
Close-up - Roti di potong dua dan akan diagihkan dengan air/susu dan kurma rotab..
Sesudah Asar, safrah plastik di bentang seluas dataran Masjid, makanan sejauh mata memandang ini diinfak oleh individu yang berbeza walaupun nampak cam sama je makanan dia
Long shot - tiada ruang kosong di dataran yang penuh dengan limpahan rezeki dari Allah
Pekerja tauke2 Arab tengah isi nasi Kabsah ke dalam container - tidak ramai yang sponsor nasi Arab, so kalau nak makan kena tunggu di tempat yang betul
Sebelum azan Maghrib kami kembali ke Masjid.  Masuk saja ke pagar Masjid, beberapa orang menarik tangan hubby untuk berbuka di kawasan mereka.  Biasanya inilah cara mereka mengisi ruang yang mereka taja bagi jemaah lelaki - ada tukang promote.  Bagi perempuan pula, boleh saja duduk di dataran atau masuk ke dalam dan carilah ruang. Kalau tiada ruang, bertenggek sajalah ditepi laluan.  Sebelum duduk, aku refill botolku dengan zam-zam.  Subhanallah...sebaik duduk, terus ada yang menghulur makanan.  Roti dan kurma sudah pasti setiap orang akan dapat.  Infak terlalu banyak di sini - bahkan lebih banyak dari Masjidil Haram.  Kalau tak cerewet makan, tak payah keluar 1 sen pun untuk makan sepanjang Ramadhan.  Jika duduk di tepi laluan lagi banyak dapat.  Sebab akan sentiasa ada yang datang membawa kotak2 makanan dan pastinya yang dok dipinggir lorong itulah yang dapat dulu..Luasnya rezeki Allah di sini.

Maghrib dan iftar pertamaku di Masjid Nabawi - azan berkumandang - aku PAUSE - bertafakur - laungan dari bilal ini bukan lagi mp3 atau youtube mahupun realplayer.  Ini live.  Aku benar2 di sini... Syukur yang amat.  Kurma rotab aku kunyah perlahan sambil menikmati merdu azan.  Zam2 dingin yang mengalir dalam rongga leher memberi kepuasan yang hebat.  Aku jamah sedikit roti arab, sekadar berbahasa kepada tangan yang menghulur (ahh..perut nasi ku).  Pengalaman iftar beramai2 dengan makanan infak yang tak putus2 dihulurkan cukup menggetar jiwaku.  Kita sama saja di sini.  Tiada beza antara aku dengan Fauziah Ghous mahu pun Fahrin Ahmad.  Tiada beza aku dengan Datin N atau Dr. H.  Tiada juga beza aku dengan warga Afrika berpakaian selekeh mahu pun warga Indon pencuci lantai.  Kesamarataan ini menggetar jiwaku. Kesederhanaan beriftar di bumi Anbiya ini meroboh keegoan diri  - ini bukti cinta dan taat kita kepada Rabbul Izzati - inilah keindahan Islam sebenar, penghayatan Ramadhan sebenar (mampukah ku teruskan ini di Malaysia? Ahh.. Bazar Ramadhan, Bazar Bakit, Bazar Jalan TAR..).  Selepas beberapa minit beriftar, imam mengangkat takbir untuk Maghrib dan dengan lajunya barisan safrah ditukar kepada saf.  Laju - tapi teratur.  Aku seronok menghayati dari sekecil-kecil perkara di sini, apatah lagi yang besar.  RahmatNya memang luas di bumi ini.

Sesudah solat, kami balik Hotel sekejap - setelah perut nasiku sudah terisi kemas, aku menapak ke Masjid lagi.  Masuk ke Masjid waktu Isya memang mencabar kerana waktu inilah waktu yang paling ramai orang bersolat.  Walaupun aku masuk awal, bagai tiada ruang untuk aku.  Jadi terpaksa aku berhimpit diruang laluan.  Malam ini malam 17 Ramadhan.  Memang benar seperti yang ku dengar, jamaah ramai selepas 15 Ramadhan.  Waktu aku datang 10 tahun lalu, suasana memang agak santai dan tidak begitu sukar mencari tempat.  Ketidakselesaan menerjah, wanita2 Arab terus menghimpit mencuri ruang.  Aku harus kembali menilai objektif aku ke sini - Heii..aku di Masjid Nabawi, aku bukan lagi bersolat di Wardieburn Camp (masjid kegemaranku di bulan Ramadhan).  MEMANG SANGAT SEMPIT - tapi aku kini berada di RUANG TERPILIH.  Jika di Wardieburn Camp aku cuma mengutip 27 pahala, tapi di sini Allah beri 1,000 kali ganda lebih ganjaran daripada solatku di Wardieburn Camp.  Cepat2 aku tampal prasangkaku. Allah has invited me here for a reason and in return I want to fully submit to Him with no question ask, no prejudice..

Solat Isya dan seterusnya tarawih membawa aku kembali ke tahun 1999.  Waktu itu, solat malam di imami oleh Sheikh Mishari Rashid Al Afasy - sheikh paling ku minati sehingga kini kerana suaranya yang merdu dan lenggok lagunya yang meruntun jiwa.  Suara itu tiada lagi, namun suara penggantinya tidak kurang hebat persis Abdul Rahman AsSudais versi muda.  Aku tekun mendengar bacaan yang panjang menghabiskan juzuk ke-17 untuk 20 rakaat tarawih.  Sesekali kusyuk ku bertukar lena mungkin kerna aku masih jet-lag...

Seusai salam solat witir jam 11 malam, isyarat penamat ibadah awal malam menghantar aku kembali ke Hotel.  Perlu tidur dan rehat untuk beriktikaf di akhir malam...

...Bersambung...

No comments: