Wednesday, October 20, 2010

Travelog Umrah 3 - Mendambakan Syafaatnya..

Aku hanya dapat tidur seketika sahaja sekembalinya ke Hotel - pertamanya kerana masih jet-lag, keduanya kerana Mutawif sudah berjanji untuk menunjukkan kami Makam Nabi dan Perkuburan Baqi' dari luar Masjid Nabawi.  Walaupun aku dah biasa ke sini, aku pergi juga ikut rombongan Mutawif berjalan kaki ke kawasan kubah hijau Masjid Nabawi kerana aku suka dengar Mutawif bercerita mengenai sirah nabawiyah.  Anak muda warga Indon berusia 23 tahun seiras wajah kontraktor rumah ku bernama Taufik (tapi kerana wajahnya seiras Mail, aku dan hubby memanggilnya dengan nama Mail) ini sememangnya pakar sirah, dia pelajar di sini.  Sirah disulami doa dan salawat dibaca apabila kami tiba bersetentang kubah hijau - di bawah kubah itulah kedudukan Mihrab Nabi.

Dibawah kubah hijau itulah letaknya Mihrab Nabi
TERHARU DAN SAYU.  Tempat ini hanya bermula dengan tiangnya dari batang kurma dan berdindingkan pelepah kurma.  Begitu juga rumah baginda yang bersebelahan Masjid yang asalnya kecil itu. Rumah baginda sangat sempit sehinggakan ketika baginda bersolat malam, terlanggar kaki Aisyah (peristiwa ini antara sumber sohih yang membawa kepada hukum tidak batal wudhu' bersentuh lelaki dan wanita).  Masjid ini terus membangun sehingga gah berdiri menggamit umat setiap pelusuk dunia untuk menziarahinya, untuk umatnya yang mendambakan syafaatnya di padang Mahsyar.  Bersebelahan pagar masjid, terletak perkuburan Baqi' yang menempatkan lebih kurang 10,000 kubur terdiri dari para syuhada', isteri2, kaum keluarga dan sahabat2 baginda.  Kawasan ini tidak dibuka untuk perempuan, sementara kaum lelaki ada waktu lawatan.

Salam untuk penghuni kubur yang telah dijanjikan syurga oleh Allah
Sesudah kami ditunjuk tempat-tempat ini dari luar masjid, kami masuk ke dalam untuk ziarah Makam dari dalam.  Waktu ziarah Makam bagi wanita ialah selepas subuh hingga menjelang Zohor, lepas Zohor hingga Asar dan sesudah Tarawih.  Aku masuk lebih kurang jam 9 pagi.  Suasana agak tenang dilaluan ke Raudhah.  Namun dari jauh ku lihat ruangan Raudhah padat. Ini senario biasa. Manusia berhimpit2 dan aku bulldoze jer masuk ke ruang Raudhah walau di sekat oleh askar Masjid.  Aku dihimpit hebat sehingga sesak nafas namun aku bertahan.  Pertama berada bertentang Mihrab aku mengucap salam kepada baginda dan kusampaikan salam yang dikirim rakan dan saudara dari Malaysia.  Sekali lagi aku sayu.. Terkenang sirah yang di cerita Mutawif tadi.  Aku cari ruang bersolat, namun yang aku mampu hanya solat berdiri.  Habis 2 rakaat, ku terus bersalawat memohon syafaatnya di padang Mahsyar,berdoa untuk diri dan keluarga, berdoa untuk yang menitipkan doa, berdoa untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.. Sebelum berundur, aku berpaling ke kiri mengucap salam kepada 3 sahabat besar iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.  Selepas itu aku cepat beundur kerana himpitan yang mara dari kiri dan kanan...Askar2 juga terus-terus menyuruh jamaah keluar..

Itu pengalaman hari pertama ku di Raudhah.  Bila masuk hari kedua, baru ku faham ada formula baru untuk ke Raudhah.  Jamaah mulanya akan di kumpul ikut negara dan di bawa masuk ikut giliran.  Baru ku faham askar yang berdiri memegang banner bertulis 'Bahasa Melayu' itu ialah tempat jamaah dari Malaysia, Indon, Brunei, Thailand dan Singapura berkumpul dan seterusnya akan dibawa masuk ikut giliran ke Raudhah.  Memang lama menunggu untuk masuk sebab jemaah dari negara yang 'kasar' seperti Afrika dan Arab akan diberi peluang dulu.  Kami kumpulan akhir, tapi suasananya jauh lebih teratur, ruang Raudhah lapang dan tenang untuk bersolat, berdoa dan berzikir.  Dan kerana kami kumpulan akhir, kami boleh duduk lebih lama di sini.  Setelah lebih sejam setengah menunggu di luar Raudhah aku ingat pertanyaan kepada askar Masjid "Hal Melayu al-akhiru?" dengan bahasa arab ku yang sangat tumpul.  Askar itu menjawab dalam bahasa melayu "Melayu sangat bagus!!" sambil mengangkat ibu jarinya.  Aku senyum bangga - memang imej melayu di tanah Haramain (Mekah dan Madinah) sangat baik...  

Inilah mihrab - hanya boleh dilihat dari bahagian lelaki - bahagian perempuan ditutup tabir..
Aku puas dapat beberapa kali ke Raudhah ini.  Dalam aku membilang salawat, berzikir dan berdoa, aku mendambakan syafaatnya dihari perhitungan... Amin

...Bersambung....

No comments: