Tuesday, November 30, 2010

Travelog Umrah 9 - Live from Baitullah..

Terpaksa aku break lebih lama dari bersiaran dalam Travelog Umrah ku.. Ingatkan nak siapkan semuanya sebelum habis musim haji ni tapi tak kesampaian. Kena ikut giliran priority yang mendatang. Tak apalah, ini catatan personalku untuk aku pahatkan ditempat yang aku boleh revisit bila-bila masa… Jadi sesiapa yang turut membaca catatanku harus ikut secara slow and steady macam aku jugak la…

Berlalu sudah musim haji dan hari raya Aidil Adha baru-baru ini menarik kembali imbasan ku di Tanah Suci. Pengorbanan itu berlaku di sini.. di Tanah yang dirindui setiap umat yang cintakan si Maha Pencipta. Dan inginku sulam kembali detik aku pertama tiba di tempat di mana terciptanya sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Ismail dan kepayahan Hajar berjuang untuk survival diri dan anaknya Ismail. Disinilah saksi kisah kecintaan agung Ibrahim dan Ismail kepada Allah SWT, lalu ia menjadi sunnah ikutan melalui ibadah kurban. Di tempat ini juga memberi kesaksian kisah agung kecintaan ibu kepada anaknya hingga perlakuan itu dijadikan sebagai salah satu rukun umrah dan haji – itulah Saei. Juga Allah jadikan ruang Hijr Ismail ruang terpilih yang diiktiraf sebagai sebahagian dari Kaabah – ia adalah tempat berteduh yang Nabi Ibrahim sediakan untuk Hajar dan Ismail sebelum meninggalkan mereka. Ia lambang kasih Ibrahim kepada Hajar.  Ini ruang hotspot berdoa.  Allah anugerahkan pula dengan air yang tidak bisa kering terbit dari tunjahan kaki kecil Nabi Ismail yang kehausan - Zam-Zam yang mengalir di sini tiada hentinya, penghilang dahaga, pengubat jiwa, penyembuh penyakit.. Hebat sungguh kisah kecintaan dan perjuangan insan-insan mulia di sisi Allah – membentuk ibadah, mencipta ruang hotspot doa, melakar jejak yang kekal di Baitullah untuk kita amali dan hayati. Dan kita akan rasai mereka dekat dengan kita hanya bila kita berada di sini.. Di Masjidil Haram… Datanglah ke sini sahabat-sahabatku sementara masih bernyawa, kerana sesungguhnya kita semua mampu dari segi kewangan. Yang kita mungkin lebih perlukan ialah kemampuan atau kekuatan rohani untuk membawa kita ke sini – berdoalah kepadaNya semuga kita di anugerahkan kekuatan itu.. Paling tidak untuk menyempurnakan roh Islam kita dengan terpacaknya tiang ke lima iaitu menunaikan haji..

Aku memang rasa tak sabar untuk memulakan dan menyelesaikan ibadah umrah ini. Kedudukan hotel kami lebih kurang 200 meter dari Masjidil Haram. Kami bergerak ke Masjidil Haram dalam kumpulan yang diketuai mutawif Ustaz Taufik. Bila keluar saja ke jalan besar menuju Masjidil Haram ramai orang berpusus-pusu berjalan menuju ke masjid. Dari kejauhan sudah dapat ku lihat cahaya terang dari Masjidil Haram. Jelas kedengaran solat tarawih sedang berjalan dengan diimamkan oleh imam2 muda, mungkin Al-Gehny atau Juhaidy. Aku hanya kenal suara imam2 senior sahaja. Nyaring laungan bait-bait Al-Quran dari juzuk 20 dibaca menandakan malam ke-20. Aku terpaksa melepaskan sahaja solat tarawih malam ini, kerana perlu menyelesaikan ibadah umrah hari ini juga memandangkan malam sudah agak lewat. Tarikan kuat menggetar dada, ianya semakin dekat.. Aku teruskan talbiyah dan bila pintu King Abdul Aziz aku langkaui, doa masuk masjid ku baca.. Tersergam indah struktur Baitullah yang aku rindui.. PAUSE.. Terasa nafas aku turut berhenti. PAUSE.. Mata terpaku di situ. PAUSE lagi. Andainya aku computer, processor ku ini bagai tersekat-sekat. Di depan mataku bukan lagi sekadar wall-paper di computer mahupun handphone. Aku bukan lagi memandang result dari search images ‘kaabah’ di-google image.. Ini live. Tempat ini lambang keagungan Mu. Ianya memang indah khabar, namun indah lagi rupanya. Memandangnya sahaja sudah mendapat pahala, apalagi beribadah di hadapannya.. Kalau pahala setiap ibadah yang dilakukan di sini dapat dilihat, pasti tertimbus jutaan pengunjungnya di liputi pahala – bagai tertimbus kulit2 kerang oleh pasiran di pantai. Setiap ibadah ganjarannya 100,000 kali ganda!! Kutiplah sebanyak mungkin. Buku akaun tu bukannya ada apa sangat pun. Anugerah terindah. Rahmat Allah memang tiada tandingan.

Ramai juga rupanya jemaah yang bertawaf semasa tarawih. Kemas lengan hubby ku pegang kerana jamaah berkumpulan agak keras melanggar apa saja di hadapan. Perlahan langkah aku dan hubby mencari garisan Hajarul Aswad. Ah..rupanya tiada lagi garisan hajarul aswad..itu 10 tahun yang lalu. Harus pandai menelah bila tawaf bermula dengan berpandukan lampu hijau dan rukun Hajarul Aswad. Berniat Tawaf – Tiada apa yang dapat aku gambarkan bila Allah memberikan aku peluang menjadi tetamunya sekali lagi. Tiada kata yang dapat aku ucapkan, perasaan terharu, gembira dan rendah diri terhadapNya kerana aku berada di sini. Semasa di Malaysia, aku berkesempatan melihat terawih dan tawaf yang disiar secara live di Oasis bermula jam 1 pagi .. Tapi hari ini, hari ke-20 aku berada dicelahan ribuan umat bertawaf – live ke Oasis dan rangkaian2 TV Arab. Tapi itu tidak penting. Aku sudah live di sini… Live from Baitullah...Every moment is treasured… Jika dibandingkan waktu haji, pusingan tawaf ini tidaklah begitu besar tambah dilakukan semasa berterawih. Kami siap dalam masa 20 minit. Pada waktu ini kami telah terpisah dari rakan sekumpulan. Sesudah tawaf kami bersolat di Multazam. Setiap langkah tawaf ini bagai melalui jejak Ibrahim. Dari Baitullah dan Multazamnya, Makam Ibrahim dan Hijr Ismail. Namun ruang ke telaga Zam-Zam sudah ditutup. Mungkin untuk mengurangkan halangan bertawaf… Berpeluang bersolat selari dengan Multazam – aku sebak.. Terasa dekat denganNya. Kedudukan Baitullah selari dengan Arash Allah di langit. Mana mungkin tidak terasa hampirnya Dia. Seterusnya kami berhimpit untuk masuk ke Hijr Ismail. Hijr Ismail adalah sebahagian dari struktur Kaabah. Jadi, bersolat di sini bagai bersolat di dalam Kaabah. Semasa Aisyah ingin masuk ke Kaabah untuk bersolat, Rasulullah bersabda: “Masuklah ke dalam Al-Hijr (Hijr Ismail) kerana di dalamnya merupakan sebahagian dari Kaabah,” (Al-Nasaei 2912). Masyaallah – aku terlalu sebak berada di ruang kecil berbentuk semi-circle ini. Setiap ruang waktu di ruang yang terpilih ku penuhi dengan doa…

Keluar dari Hijr Ismail - kami ke rukun seterusnya iaitu ibadah saei. Ibadah Saei lebih senang kerana tidak banyak syarat-syarat bagi ibadat ini, sekadar berjalan dari Safa ke Marwah, namun jaraknya bukan dekat iaitu lebih kurang 700m satu lap, dan tujuh lap memberi kami pengalaman Hajar sebanyak 4.2 km. Yang pasti jalanan kami tidak seperit Hajar - berjalan di padang pasir di bawah terik mentari naik turun bukit Safa dan Marwah. Kami pula berjalan di atas marmar sejuk dengan deruan aircond yang cukup menyamankan dan disediakan dalam versi 3 tingkat, boleh pilih mana-mana tingkat yang disukai, dan siap ada escalator. Tentu tidak wajar untuk dibandingkan dengan Hajar… Pun begitu, selesai lap yang ke tujuh, kami lega. Dan tanpa bertangguh aku terus bertahallul dengan bergunting. Kami perlu melintasi ruang tawaf sekali lagi untuk balik ke Hotel. Berhenti dan duduk sekejap di dataran Kaabah untuk memandang rumah Allah yang dirindui. Kami mendongak ke atas melihat Royal Tower Clock – menara jam yang tertinggi di dunia menunjukkan hampir jam 12 malam. Ahh.. dah selesai baru perasan jam yang baru siap Ramadhan ini.. Kawasan dataran longgar kerana terawih sudah selesai. Kami beredar.  Sampai di pintu Masjid – sekali lagi kasut tiada (di Madinah 2 pasang kasut ku kena rembat). Aku lupa undang-undang di sini perlu letak kasut ditempat yang disediakan atau bawa saja bersama ke tempat solat. Di dataran luar masjid, beratus-ratus kasut yang dihumban keluar berserakan..aku pasti comfort shoes SnowFly kesayanganku sudah dirembat.. tak ape lah..sedekah ajer la… Aku dan hubby balik berkaki ayam. Sebelum sampai hotel sempat kami beli selipar jepun berharga 5 Riyal.. Sampai di hotel hampir jam 1 pagi, aduhai beg belum sampai. Aku terus tertidur. Hubby kejut sahur, beg belum sampai jugak – hampir subuh baru beg sampai, aku terpaksa pass pergi berjamaah di Masjid kerana pakaian terlalu kotor. Hubby pergi orang… Ini sebahagian cubaan. Pasrah


…Bersambung…

No comments: