Wednesday, April 20, 2011

Wanita Yang Dikerumuni Kebaikan

Tiba-tiba terjumpa balik kisah yang ditulis Kak Yati tentang wanita ini.  Kak Yati ni volunteer Bakit yang mengajar penghuni Rumah Titian Kasih ngaji Quran dan Fardu Ain.  Menarik cerita santai Kak Yati ni..so here's the story about the woman better known as Mak Pah...Wanita yang dikerumuni kebaikan..
-----------------------------------------------------------------------------------------------
“Saya minta maaf banyak-banyak Mak Pah, sebab tak dapat datang ke RTK sepanjang Mak Pah berada di Mekah.” Malunya saya mencari alasan. Kami berpelukan sementalahan pula menyambut kepulangan Mak Pah yang segar membawa aroma habatus sauda dan kurma najwa pulang dari menunaikan ibadah suci. Suasana ceria, dia nampak sehat, bersemangat dan tidak berhenti dengan cerita sepanjang berhaji di tanah suci…

Mak Pah seorang wanita yang tangguh, bersemangat waja dan seorang ibu tempat bersandar ratusan warga miskin, anak gelandangan, anak yatim, kurang upaya dan orang-orang tua di RTK. Bukan sedikit jalan disempitkan, makanan diditaburi pasir, harapan dan pembahagian dihadang malah di lempari fitnah nista yang tak pernah berkesudahan. Pun begitu wanita tangguh ini menempuh duri dan pecahan kaca dengan sabar dan redha. RTK telah ditentukan sebagai pembumi yang bakal melebur dan menerima apa saja rempuhan kemelaratan dan kesengsaraan umat penghuninya. RTK tidak pernah putus berusaha merempuh badai ombak, cekal mengharap pembelaan dan bantuan. Menyadari kewajiban untuk membela dan memberi teduhan pada setiap penghuninya, wanita ini tetap percaya diri, berjuang dan memenafaatkan setiap energy penghuninya membangun kehidupan. Mereka terus menggapai tiang harapan, merengkuh secercah pembahagian walau kadang-kadang yang direngkuh hanya tiang angin, lowong dan kosong.

Saban hari RTK menambah penghuni yang disua dari Hospital, JKM, JAWI malah pihak kedutaan. Alhamdulillah, sempitnya ruang namun muat, sedikitnya makanan tapi cukup, peritnya pencarian tapi indah sekali pendapatan. Selama beberapa tahun RTK berdiri sendiri hasil sumbangan orang ramai dan titik peluh penghuninya, tidak pernah lagi pihak yang berkuasa menghulur bantuan. Orang ramai melihat apa yang terindera namun tidak ramai yang melihat ke kedalaman batas indera tentang penat jerih mereka memeta jalan hidup anak-anak RTK untuk menjadi insan terjaga dan terbela. Tempat menumpang kasih, membangun diri, meneguk ilmu dan melerai derita.

“Bukan ke Mak Pah dapat tiga sumbangan Pakej Haji VIP” saya mohon dijelaskan setelah diberitahu yang dia mengikuti Muasasah.

“Bukan macam tu, ada dua Pekej saja dan yang satu lagi anugerah dari JAWI tu berupa Muasasah. Pekej yang dua tu Mak Pah beri pada Rozi dan nenek (pembantunya dan seorang nenek tua penghuni RTK).” Jelas Mak Pah yang sedia memilih pergi dengan Muasasah.

Selama di sana Mak Pah terasing dari Rozi dan nenek kerana dia mengukuti rombongan Muasasah yang kebetulan rombongannya terdiri dari ramai warga emas. Perancangan Allah, memang indah, kerana wanita ini memang dikerumuni amal-amal kebaikan.

“Tengoklah, telekong Mak Pah ni dah berapa kali dijahit nih…”

Mak Pah menceritakan bagaimana dia seorang telah membawa dan memimpin lapan orang makcik dan nenek yang berusia dari 65 tahun hingga 80 tahun. Mereka ini pergi berkumpulan yang tiada mahram. Duduk pulak dengan Muasasah yang memang tiada mutawif dan penjaga. Terkapailah mereka sendirian, menjalankan ibadah haji seminimalnya. Lalu Mak Pah menyerah diri rela meneman dan memimpin mereka sepanjang di tanah suci menjalani ibadah. Kalau orang biasa mengambil masa setengah jam untuk bertawaf, namun Mak Pah dan rombongannya yang terhinjut-hinjut mengambil masa hingga dua jam ! Maka tidak heranlah telekongnya beberapa kali terkoyak kerana di pegang kiri, kanan dan belakang oleh makcik-makcik dan nenek-nenek tadi sepanjang menapaki lantai ibadah, membolosi ribuan jemaah. Sambil menyempatkan diri menolak sebuah wheelchair yang digilirkan antara nenek-nenek tua yang renta tidak berdaya.

Siapakah wanita besi ini? Yang halus dan lembut, sedia meleburkan kebesiannya tatkala menyantun si tua berkaki tiga. Kembali berdiri tegap sasa, sedia mengepak melindungi dan menjadi alang-alang tempat berpaut wanita-wanita emas tatkala mendaki bukit Safa dan Marwah menyempurnakan sa’i…

Perbualan kami terhenti kerana Mak Pah sedang melayani seorang wanita sederhana tua meng’akadkan wang zakatnya pada RTK. Kemudian Mak Pah menyambut dan menyapa beberapa tetamu yang menziarahi RTK.

“ Saya ada SMS Ustaz untuk beritahu yang saya tak dapat hadir semasa kem ibadah RTK tempoh hari. Kebetulan pula dua minggu tu saya ada exam dan tiga minggu berikutnya saya kerja luar di JB.Tapi tak ada pulak dibalasnya. Oh ye, macam mana perkembangan dari kem ibadah itu, Mak Pah” tanyaku panjang lebar, jujur memberi alasan.

“ Budget asal Cuma RM5,000. Tapi kena bayar RM32,000. Klaim minyak dia je RM200 sehari etc, etc…”

“Mak Pah tinggalkan duit RM10,000 je. Terpaksalah Abah dulukan RM23,000. Bila Mak Pah tanya kat penganjur, depa kata pulak tak terima apa-apa bayaran kerana memang rumah anak yatim diberi percuma ! Lepas tu Ustaz tu dah hilang tak dapat dihubungi lagi”.

Ya Allah! saya terdiam, terkedu. Sukar untuk dipercayai seorang Ustaz yang menjawat sebagai pegawai kerajaan sanggup melakukan ini semua. Kalau dulu memang ramai lagi sukarelawan serta pembantu yang menyalahguna kuasa, menyeleweng dan merompak di siang hari di RTK. Itu biasalah terdengar. Sehingga Mak Pah menjadi serik dan akhirnya secara solo menjadi ‘one women show’ mengurus berseorangan RTK.

“…Oh Tuhan, hulurkan mata pedangMu; pada mereka-mereka yang berjasad manusia tapi berhati jembalang !”

Malu pulak rasanya kalau selama ini tidak bersangka baik pada Abah seorang lelaki berusia yang selalu mendampingi RTK, akhirnya sanggup mengeluarkan duit poket menyelamatkan keadaan.

Kemudian..

Lama Mak Pah memandangku, matanya tajam bersinar. Ada senyum jelita pada wajahnya, Wahai Allah, indah sungguh ciptaanMu ini… Dia bangun..

“We had good news. Kuwait Finance nak hadiah RM … million and … acres of land kat Kajang, semalam Mak Pah sign aggreement…”

Lantas dia memelukku, mengguyur airmata syukur. Semakin erat pelukannya, terggugah jiwa ragaku, layaknya seakan terleraikan segala beban yang dipikulnya selama ini. Hilang segala derita, jerih dan penat.

“Subhanallah, Alhamdulillah… you deserve that Mak Pah” bisikku. Syukur pun melimpah. Azam untuk menambah bakti semakin menghujam, semangat dan keyakinan mendarah daging.

Mak Pah - Ibu tungal yang cekal ini adalah tunjang kepada RTK dan penghuninya
 (gambar dari Google Images)
 “….. dan Dia mengetahui apa yang ada di dataran dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahui pula, dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)”.

QS Al An ‘Aam: 59

No comments: