Monday, December 6, 2010

Travelog Umrah - Siri Akhir - Menoleh Kembali

Alhamdulillah..kita sampai kepada post terakhirku dalam siri Travelog Umrah. Aku mahu lebih detail kerana banyak yang ingin ku perkatakan. Namun masa tidak mengizinkan. Kalau aku ada banyak masa ingin aku bukukan perjalananku sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan penulis casual sekarang. Tulisan dengan bahasa yang berteraburku ini hanyalah sebagai mengenang detik pahit, manis, haru dan sayu dalam menyelak lembaran sirah berselang seli dengan amalan peniggalan anbiya di bumi Allah yang Mukarramah. Mungkin juga satu hari nanti...

Menoleh kembali, aku merasa sangat bertuah kerana menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Aku juga menitipkan doa untuk saudara2 dan sahabat2 yang aku tahu dalam senarai menuggu untuk datang ke sini.  Semuga Allah percepatkan cita-cita kita.

Seperti yang tertulis didalam Solusi coretan kata Al-Jahiz “Tidak melihat akan seseorang itu Baitullah Al-Haram bagi yang belum pernah melihatnya sebelum itu kecuali dia pasti akan tersenyum riang gembira atau pun mengalir air mata..”

Sabda Nabi SAW mengenai amalan yang paling afdhal “Beriman kepada Allah dan rasulNya, kemudian, berjihad pada jalan Allah, kemudian, haji yang mabrur”

Sabda Nabi SAW mengenai ganjaran haji “Sentiasalah menuruti peluang menunaikan haji dan umrah. Sesungguhnya kedua-duanya menghembus keluar dosa dan menghalau keluar kefakiran sebagaimana api menghembus tahi besi, emas dan perak (apabila dibakar). Haji yang mabrur tiada ganjaran yang paling layak untuknya kecuali syurga”

Sabda Nabi SAW mengenai keberuntungan haji “Tiada hari yang paling layak diselamatkan hamba-hamba Allah daripada api neraka kecuali hari Arafah”

Jika giliran kita masih jauh, kita masih boleh bersedia awal.  Bersedia untuk menjadi tetamu Allah...Mulakan dengan mendaftar. Dan seterusnya merancang masa dan kewangan (supaya dapat pergi lebih cepat dengan package). Dan yang paling utama, membentuk jiwa untuk menjadi tamu Allah. Persediaan bukan sahaja perkara akademik berkaitan ibadah haji/umrah sahaja tapi yang lebih penting penyucian jiwa mesti bermula lebih awal. Bekalan amal dan ilmu mesti dimulakan lebih awal...

Sungguh beruntung sekiranya pemergiaan kita menjadi tetamu Allah lengkap dengan persediaan rohani dan jasmani. Bumi harramain (Mekah dan Madinah) adalah bumi yang Allah anugerahkan ganjaran yang berlipat ganda untuk setiap ibadah kita. Allah berikan pula tempat2 hot-spot mustajab doa pada di pelbagai sudut di Baitullah. Ayuh tingkatkan doa dan usaha menuju ke situ..

Hijrah 1432 akan tiba lagi esok.  Pesanan untuk diriku dan saudaraku - binalah KPI yang membawa kita ke jalan Nya...

Selamat menghayati Maal Hijrah 1432..

Sunday, December 5, 2010

Travelog Umrah 12 - Pergi Yang Ingin Kembali

Sehabis kemuncak malam 27 tentulah membawa kami lebih dekat kepada tarikh untuk kembali ke tanah air. Penerbangan kami ke Malaysia lebihkurang jam 11:30 malam esok – iaitu malam ke 29. Seperti biasa, beg perlu lebih awal berada di lobi lebihkurang pukul 10:00 pagi esok. Selepas Asar hari 27 kami kena packing siap-siap, kerana kami akan mula bergerak sesudah Zohor hari 28. Aku memang tak banyak shopping, jadi tak ada masalah. Cuma kami beli kerusi sandar yang biasa dipakai oleh jemaah Masjid untuk ayah dan mak, agak bulky jadi kami siap2 pack dalam kotak. Yang lainnya semua masuk beg. Tiada masalah. Semuanya siap sebelum kami memulakan aktiviti malam ke 28.

Hari ke 28 ialah hari untuk kami mengucapkan selamat tinggal kepada Masjid suci yang menjadi titik pertemuan pencinta-pencinta Allah dari seluruh pelusuk dunia. Dan tanda selamat tinggal kepada Baitullah ialah dengan tawaf wida’, yang mana hukumnya wajib bagi yang berkemampuan. Selepas tawaf wida’, kita mesti meninggalkan Masjdil Haram dan hanya boleh membuat perkara-perkara yang berkaitan perjalanan pulang sahaja. Disebabkan kami akan bertolak lebihkurang jam 2:00 petang, kami perlu menunaikan tawaf wida’ selepas Zohor. Namun mutawif memberi pilihan untuk memudahkan tawaf wida’ supaya tidak terlalu membebankan kami yang berpuasa. Jadi kami ikut saranannya iaitu melakukan tawaf wida’ secara berperingkat-peringkat, iaitu 6 pusingan sesudah solat subuh, dan dalam waktu menunggu zohor boleh buat aktiviti lain seperti biasa, kemudian selepas zohor selesaikan pusingan terakhir. Bila selesai pusingan terakhir, barulah wajib mematuhi syarat2 sah wida’. Dan sesudah Zohor, dengan berat hati aku melangkah kaki untuk menunaikan tawaf pusingan terakhir – dan ini adalah pusingan terakhir tawaf selamat tinggal ku kepada Baitullah. Peritnya terik matahari pada suhu lebih 40 darjah menerjah diri tidak seperit perasaan sayu ku yang harus meninggalkan bumi kesayanganku. Setiap langkah ku berdoa semuga pergi ku dari sini hanyalah untuk sementara waktu. Pergiku yang kembali insyaallah, hanya dengan izin Mu... Ya Allah, semuga Engkau bawa aku dan hubby kembali lagi ke tanah ini, dengan diberi kelapangan rezeki, waktu, kesihatan dan iman. Langkah aku keluar ke pintu King Abdul Aziz, ku sulami dengan tolehan ke belakang, tolehan yang sayu meminta di panggil lagi ke sini...hanya dengan izinmu ya Allah.. Selamat Tinggal Baitullahilharam...

Sekembalinya ke Hotel, beg kami masih tersadai di lobi. Ia sepatutnya bertolak lebih awal dari kami. Tapi seperti biasa bas tak dapat masuk. Banyak jalan menuju ke Masjid ditutup. Rupanya malam ini, malam ke-29, ialah malam khatam al-Quran (aku tersilap faham, malam 29 bukan juz 29, tapi juz 30). Malam khatam Al-Quraan adalah malam kedua paling ramai jemaah locals membanjiri Masjid selepas malam 27 (selepas balik ke Malaysia, aku baca news, malam 27 lebih 3 juta orang, manakala malam 29 lebih 2 juta orang). Rugi juga kerana tidak dapat sama-sama merasai keindahan malam 29 pula. Mungkin sekali lagi datang berhari raya di sini pula...

Bas tiba lebihkurang jam 3:00 petang, itupun terpaksa parking lebihkurang 1 Km dari hotel..jadi kami berjalan agak jauh. Kesian tengok pekerja2 hotel yang terpaksa mengangkat beg2 yang dah beranak pinak sejauh itu.

Perjalanan kami melalui lebuhraya menuju Jeddah smooth...Namun dari arah bertentangan menuju ke kota Mekah kenderaan bertali arus. Beruntung mereka ya.. boleh ke Masjidil Haram pada bila2 masa sahaja. Kami berhenti solat Asar di sebuah Masjid dilebuhraya dan meneruskan perjalanan ke Airport Jeddah untuk tiba sebelum Maghrib. Check-in semuanya diuruskan oleh Andalusia. Alhamdulillah, Andalusia memang bagus dari segi kelancaran perjalanan kerana segalanya diuruskan dengan baik. Kalau ada sedikit kepincangan tu kira perkara biasa, sebahagiannya dugaan untuk kita juga. Kali ini solat maghrib, isya dan tarawih hanya di surau Airport. Ringkas saja. Namun aku berdoa kesan yang ku kutip sepanjang ziarah ini dapat aku kekalkan selagi mana berdaya. Dua minggu di bumi harramin - biarlah istiqomah itu tidak bernoktah. Biar ada keimanan bertambah walau sekelumit. Biar ada pembersihan batiniah mendorong kesucian hati dan jiwa...

Bila kapalterbang mendarat kesyukuranku bertambah kerana sudah cukup satu pusingan perjalananku. Seperti yang disarankan Ustaz Taufik, sebelum sampai ke rumah, singgah bersolat di masjid kawasan tempat tinggal kerana malaikat masih bersama kita (aku lupa fadhilatnya secara detail). Aku singgah di Masjid As Syakirin, seterusnya balik kerumah. Dan terima kasih tidak terhingga kepada Allah yang menjaga kami dan keluarga sepanjang perjalanan kami...

ALHAMDULILLAH...

Baru teringat esok dah last day Ramadhan dan hari raya bakal menjelang. Inilah pengalaman pertama aku lupa tentang hari raya. Manisnya..

....Bersambung....

Thursday, December 2, 2010

Travelog Umrah 11 - Inikah Malam Seribu Bulan?

"Carilah dia disepuluh terakhir Ramdhan pada hitungan ganjil" Hadis riwayat Bukahri Muslim.

Itulah antara hadis hassan lagi sohih berkaitan Malam Lailatul Qadar.  Dan malam yang dicari itulah penjana kemeriahan yang mewarnai kota suci ini.  Pada malam ke 21 dan 22 aku biasanya balik untuk berehat selepas terawih dan kembali semula ke Masjid untuk bertahajud, namun terpaksa tukar strategi untuk malam seterusnya.  Jemaah pula, semakin hujung Ramadhan semakin ramai, waktu yang diperlukan untuk keluar dan masuk balik ke Masjid semakin lama kerana perjalanan semakin perlahan.  Jadi bermula malam 23 Ramadhan aku mengambil keputusan untuk tidak balik.  Alhamdulillah, cara ini lebih tidak memenatkan.  Aku hanya berbaring sekejap dan sediakan sebotol air zam-zam sebotol untuk mengambil wudhu'...

Pengalaman menjelang 27 Ramadhan sememangnya penuh cabaran namun mengusik perasaan.  Bayangkan Masjid sudah mula dipenuhi bermula sebelum Zohor.  Masa tu aku agak confused.  Its only 1200 pm.  Kebanyakannya locals and Arabs.  Sesudah zohor, keadaan di dalam masjid bagaikan chaos.  Namun aku bertahan sehingga solat Asar.  Dan orang datang berbondong2.  Aku agak nervous sebab aku takut kalau aku balik selepas Asar, aku tak dapat tempat.  Masa nak keluar dari Masjid waktu Asar, terlalu ramai orang nak masuk, jadi yang nak keluar macam aku kena stampede, suasana macam semasa nak pergi melontar Jamrah.  Bagai nak pecah dada.  Ya Allah, ni baru waktu Asar.  Debar aku kuat.  Antara himpitan manusia yang keluar masuk, dalam tidak kepastian adakah ruang untuk aku malam ini.  Bila di dataran juga manusia penuh bagai tak berganjak.  Betulkah keputusan aku untuk balik ni?  Disebabkan aku sudah berada dalam arus keluar, terpaksa juga keluar.  Aku balik dan singgah di Taza Restaurant untuk beli Nasi Arab (aku jarang makan makanan hotel).  Sebungkus makan 2 orang, reserve untuk berbuka nanti.  Balik bersuci dan patah balik untuk solat Maghrib, memang fenomena manusia paling ramai pernah aku lihat.  Ratusan askar menjaga laluan ke Masjid, aku terpaksa berbuka di atas jalan raya menuju ke Masjid sahaja.  Manusia terlalu ramai dan askar pula asyik menghalau kami dari duduk di dataran walaupun masih ada sedikit ruang.  Hmm..pertama kali berbuka di atas jalan tar (bukan Jalan TAR) bersama warga Paki dan Afrika.  Tak apa lah, aku pujuk hati kerana kami ingin pantas keluar masuk Masjid.  Hati aku tiada lain yang berkata "Dapat ke aku masuk ke Masjid dengan umat seramai ini?" Doa, doa, hanya doa yang dapat mengubah takdir.  Cepat aku balik ke Hotel cepat juga aku kembali ke Masjid.  Pantas aku berjalan mencelah jutaan manusia, bila sampai di dataran Masjid, pekerja2 dengan mesin pencuci besar tengah bergerak melanggar sesiapa sahaja di hadapan, hampir sahaja aku terjatuh dalam air kotor yang ditolak dari hujung ke hujung dataran.  Kali ini airmata aku mengalir deras.  Chaotic.  Aku terlepas pegangan dari hubby sebab masing2 melarikan diri dari air..Namun hubby terkena juga percikan air kotor.  Aduhai..Kenapa perlu menyimbah air diwaktu jutaan umat berebut mencari tempat.. bentak hatiku..aku noktahkan ketidakpuasan hatiku dengan istighfar.  Bila terlepas dari kepungan pencuci, aku dapat juga mencelah naik ke escalator, lalu mencari kawasan yang aku biasa duduk. Abang terpaksa mencari tempat wudhu untuk membersih kotoran di seluar.  Kesiann dia....  Dia terpaksa lepaskan aku sendiri.  Masa sangat berharga.  Aku melilau mencari tempat sendirian, akhirnya bila dah dapt ruang kosong  barulah aku merasa lega kerana masih ada ruang untuk ku.  Ya ALLAH.. airmata aku terus mengalir kerana Allah bagi ruang untuk aku.. Inikah malam seribu bulan...? Manusia berbondong-bondong datang mencari malam ini... Aku  bagaikan tak percaya melihat lautan manusia yang terlalu ramai, bahkan lebih ramai dari musim haji.  Dulu hanya dengar sahaja malam 27 memang meriah di Masjidil Haram, tapi melihatnya sendiri aku terkesima. Aku terharu.  Terharu kerana dalam lautan manusia di luar sana, sampai nak berjalan pun tak boleh, namun di sini Allah bagi ruang untuk aku.  Tangis aku kian reda namun syukur ku tiada henti... Terawih dan seterusnya tahajjud... Dan tahajjud malam ini lebih panjang witirnya.  Tangis Sudais lebih kuat.  Tangis jemaah si pencinta Allah juga lebih kuat.  Aku pohon sebanyak-banyak keampunan kepadaNya.  Kalau pun ini bukan malam yang dicari, aku puas menjadi sebahagian dari askar-askar malam walau tidak sehebat Salehuddin Al Ayubi.  Salehuddin Al Ayubi adalah 'ibarat abid di malam hari, ibarat singa disiang hari'.  Dan inilah juga ciri-ciri yang dimiliki oleh para sahabat dan tabiin kerana mereka mencontohi peribadi Rasulullah SAW.  Walau baginda seorang maksum, baginda tetap mendirikan qiyamullail sehingga bengkak kakinya...Aku berdoa semuga Allah mengurniakan istiqamah untuk aku dan hubby meneruskan amalan ini bila kami kembali ke dunia asal ku.. Amin...

Kami kembali ke Hotel sesudah qiyam dan untuk pertama kalinya juga perjalanan 200 meter itu mengambil masa hampir sejam (nak keluar masjid 1/2 jam, jalan kat luar 1/2 jam).  Bila aku bersembang dengan rakan serombongan pada siangnya, macam-macam pengalaman yang aku dengar mengenai kisah malam tadi. Aku bersyukur aku di antara 3 juta umat yang berada di situ, dan dapat pula bersolat di dalam Masjid...

Hari ini hari ke 27 dan aku kian menghampiri waktu untuk kembali ke dunia..

...Bersambung....

Travelog Umrah 10 - Antara Ganjaran dan Cabaran

Dah dapat beg pakaian kami cepat berkemas dan seterusnya perlu rehat dan tidur untuk mengumpul kembali energi yang banyak terpakai semalam.  Di Mekah perjalanan ibadat lebih mencabar kerana orang terlalu ramai dan lead-time untuk ke Masjid perlu panjang.  Masa kena diurus dengan betul supaya kita dapat maksimakan ibadah kita di sini. Dan aku guna jadual biasa, iaitu masuk awal pada waktu Zohor dan keluar selepas Asar.  Kembali untuk solat Maghrib dan berbuka di Masjid, seterusnya kembali untuk Isya dan Terawih.  Cuma aku tidak pasti jam berapa harus aku kembali untuk bertahajjud.  Yang pasti ia bermula jam 1 pagi.  Terdetik di hati mampukah aku untuk tidak tidur hampir keseluruhan malam... Teringat nasihat Ustaz Muien - pagi tu tidur la banyak2.  Yang keduanya, Ustaz kata tawaf sunat lagi afdhal dari ibadah umrah.  Tambahan bulan Ramadhan, banyakkan ibadah berkaitan Ramadhan.  Dan ketiganya rebutlah ganjaran beribadat di dalam Masjid sebanyak yang mungkin.  Ganjaran hebat tentu perlukan pengorbanan hebat.  Memang jangan fikir lagi pasal tidur cukup atau tidak.  Badan penat atau tidak.  Susah mencari ruang solat di dalam masjid atau tidak - terutama jamaah wanita kerana ruangnya terlalu terbatas.  Ganjaran hebat perlukan pengorbanan hebat.  Kalau tidak dok aje la kat KL, solat sahaja di Masjid Taman Melati.  Aku simpan ayat-ayat tips dan motivasi ini untuk aku teruskan perjuangan ke fasa ke-2, beribadah di Masjidil Haram.   Aku dah tak sabar nak tengok keadaan sekitar Masjidil Haram waktu siang. 
Perrjalanan dari Hotel ke Masjidil Haram
Kami keluar awal untuk bersolat Zohor.  True enough - things has changed so much.  The old facade of Makkah totally gone and replaced with the new - some finished and some unfinished hotel buildings. 

Hotel lama dah habis runtuh..Inilah gantian hotel-hotel baru..
Dataran seluas mata memandang..
Dataran luar masjid juga semakin besar.  Sudah ada sayap baru yang luas di bahagian rukun Syami yang besar dan ber-aircond.    Ada yang mengatakan binaan  ini ditaja Sultan Brunei.  Aku tak pasti.  Pun begitu lagi besar, lagi ramai tamunya.  Lalu tidak mudah untuk mencari ruang kosong selebar 2 kaki untuk ku labuhkan punggung beriktikaf di dalam Masjid.  Besar ganjaran - besar juga cabarannya.

Masjidil Haram - pintu King Abdul Aziz
Suasana masih lengang jam 11 pagi...
 
Me - before we enter the  Mosque
Habis waktu Asar kami kembali ke Hotel.  Dan setengah jam sebelum Maghrib kami bergerak ke Masjid.  Kami hanya berbuka dan solat Maghrib di dataran Masjid untuk mudah balik.  (Note: Aku paste juga gambar2 kat sini walaupun company dah block jpg upload or download from office intra - frust! Kena pakai Celcom 3G).  Masjidil Haram lebih strict sebab tak boleh bawa makanan heavy masuk Masjid.  Tidak seperti di Madinah.  Tiada yang sponsor makanan di sini, kecuali yang infaq sepanjang perjalanan ke sini.  Atau semasa menunggu iftar - ada juga yang menghulur.  Itupun hanya kurma dan mineral water.  Jamaah begitu cepat mengisi setiap ruang kosong untuk berbuka puasa.  Ramainya.  Dan nyamannya aku berbuka di dataran ini, walau dengan angin panas sesekali menghinggap muka.  Cuaca panas di sini menyebabkan tekak aku bagai tidak puas menghirup zam-zam sejuk itu. Hanya lebihkurang 5-8 minit di beri untuk berbuka. 


Berbuka puasa di Masjidil Haram boleh bercampur lelaki perempuam - tapi kalau di Madinah menang kena halau dengan guard la kalau dok sekali cam ni.. 

Jamaah sibuk mencari tempat sebelum waktu berbuka puasa

5 orang gadis bertudung hitam ni aku memang respect, setiap hari sebelum iftar without fail berdiri di tempat yang sama membawa beberapa tong air Zam-Zam dan ais, membahagikan air Zam-Zam sejuk di dalam gelas untuk jamaah beriftar.  Bayangkan pahala memberi makan-minum orang berbuka.. sangat besar ganjarannya 

Setelah takbir Maghrib diangkat, aku sayu lagi.  Buat pertama kalinya dalam siri ziarahku kali ini Imam Sudais mengimamkan solat.  Kenyaringan suaranya memang meruntun hati...Sound system di sini terlalu bagus sehingga tiada ruang untuk jiwa aku lari dari bacaan ini...Ia berbeza...Again..this is live...

Sehabis maghrib, kami cepat berjalan balik ke Hotel.  Manusia terlalu ramai menyebabkan perjalanan 200 meter itu mengambil masa 20 minit atau lebih.  Langkah perlahan - berhenti - perlahan - berhenti.  Kami cepat kembali ke Masjid untuk terawih.  Seperti biasa hanya ruang temporary di lorong laluan yang masih ada.  Syukur - ada juga.  Sekali lagi Al-Gehny dan seorang imam lain bergilir untuk mengimami solat (sepuluh rakaat bertukar imam) dan siap hampir jam 11.  Tiada witir pada malam 10 terakhir kerana ia akan dilakukan sesudah tahajjud, yang akan bermula jam 1 pagi.  Kami bergegas lagi balik ke Hotel kerana perlu sedikit tidur dan kembali sebelum 12:30 pagi.  Letih.. Bukan letih berjalan sebenarnya..Letih kerana perjalanan yang pendek tetapi terlalu perlahan dan kami perlu mengejar masa.  Menempuh cabaran dalam mencari ganjaran.  Mekah - the city never sleeps.  Tiada istilah tidur di sini.  Pun begitu di hotel, aku sempat take a 99 winks.

Kami kembali ke Masjid jam 12:30 pagi.  Aku hanya mencari apa saja ruang yang ada.  Terasa lagi ramai dari terawih.  Masyaallah - Malu kalau nak rasa mengantuk di sini.  Orang berlumba-lumba mencari ganjaran.  Semua celik bagai siang hari.  Aku kagum dengan bangsa Arab.  Mereka kental.  Tepat jam 1 pagi takbir diangkat menandakan tahajud bermula.  Sayu lagi.  Kali ini Shuraim pula.  Seriously... sound system here is so good, it sounds like you are hearing it from headphone.  Sounds coming from your head goes direct to your heart.  Gandingan Shuraim/Sudais memang menarik ramai pengunjung.  Shuraim jalankan 6 rakaat, sementara Sudais 4 rakaat bersama 3 rakaat witir.  Suara mereka memang pukul habis.  Tangisan Sudais membaca bait2 Al-Quran yang berkaitan pembalasan dan keampunan sangat menyentuh jiwa.  Bayangkan 2 jam solat terawih 20 rakaat, 2 jam juga solat tahajjud 10 rakaat bersama 3 witir.  Sujud semasa tahajjud begitu terkesan.  Dan doa witir yang dibaca sehingga 30 minit meruntuh segala ego dan takabbur.  Suara Sudais memang anugerah Allah.  Mendengar doa yang dibacanya meletakkan diri kita sebagai hamba - sehina-hina hamba.  Tambah lagi setiap bait doa ini diakhiri gema yang mengaminkan - ia bisa meruntuh tembok concrete.. AMINN... Aku ada download juga dekat youtube doa witir semasa malam 27, namun deruan AMIN nya tidak sehebat gema semasa aku berada di situ.  Yang hina dan lemah pasti mengalirkan, walau setitis airmata.  Gema doa dan AMIN itu kekal terpahat dihati ku sehingga kini...(Terasa sangat pentingnya faham bahasa Arab.  Kefahaman itulah yang memahat keinsafan ke dalam hati... )

Jam 3 pagi aku kembali ke Hotel untuk bersahur dan kembali semula jam 4.  Sesudah solat Subuh aku terus turun ke dataran Kaabah.  Aku ingin duduk-duduk betul2 di hadapan Kaabah.  Sekadar merenung.  Pahala free - sekadar memandang kosong Baitullahilharam.  Pahala lagi jika di tambah doa, zikir dan mengaji.  Ini sajalah antara masa jemaah wanita bebas duduk di mana-mana ruang di dataran Kaabah. 

Selepas Solat Subuh - ramai jamah bertawaf sunat sesudah solat subuh
Background dibelakangku bukan wall paper lagi..kami beriktikaf setiap pagi di depan Baitullah - waktu yang paling nyaman di tempat yang paling nyaman..
Aku terus berada di sini sehingga syuruk.  Solat syuruk - lebihkurang jam 615 pagi - pahalanya seperti haji mabrur.  Ingat tu.  Gandakan sebanyak mungkin.  Seterusnya kami melakukan tawaf sunat sebelum matahari menyinar... Sesudah solat sunat tawaf, selesailah pusingan jadual ibadah untuk 24 jam. 

Hubby bergaya di depan Kaabah sesudah tawaf sunat
Tower Clock menunjukkan jam 7:05 minit pagi ini di ambil selepas kami tawaf sunat..
Dan setiap hari jadual kami akan berkisar pada aktiviti ini.  Selang sehari kami akan berumrah, biasanya ke Tan'im sesudah Subuh. Walau tak banyak berumrah, rasanya cukup seimbang antara yang afdhal dengan yang kurang afdhal, sementara ibadah khusus Ramadhan tetap jadi keutamaan.

Ketakutan aku sebelum datang ke Mekah mengenai penat dan lelah kerana tiada rehat dan tidur sama sekali tidak berasas.  Energi di sini berbeza.  Bila kita berada di dalam lingkungan umat yang sama objektifnya, kita bagai lupa dari mana kita datang. Kita hanya tahu kenapa kita datang.  Energi yang meresap pada diri kita adalah anugerahNya.  Kita bagai lupa dunia seketika...hanya di sini kita tak ingat dunia... Dan aku gembira kerana dunia tiba-tiba jauh dari aku.  Hanya di sini, di Tanah Suci ini...

.....Bersambung...

Tuesday, November 30, 2010

Travelog Umrah 9 - Live from Baitullah..

Terpaksa aku break lebih lama dari bersiaran dalam Travelog Umrah ku.. Ingatkan nak siapkan semuanya sebelum habis musim haji ni tapi tak kesampaian. Kena ikut giliran priority yang mendatang. Tak apalah, ini catatan personalku untuk aku pahatkan ditempat yang aku boleh revisit bila-bila masa… Jadi sesiapa yang turut membaca catatanku harus ikut secara slow and steady macam aku jugak la…

Berlalu sudah musim haji dan hari raya Aidil Adha baru-baru ini menarik kembali imbasan ku di Tanah Suci. Pengorbanan itu berlaku di sini.. di Tanah yang dirindui setiap umat yang cintakan si Maha Pencipta. Dan inginku sulam kembali detik aku pertama tiba di tempat di mana terciptanya sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Ismail dan kepayahan Hajar berjuang untuk survival diri dan anaknya Ismail. Disinilah saksi kisah kecintaan agung Ibrahim dan Ismail kepada Allah SWT, lalu ia menjadi sunnah ikutan melalui ibadah kurban. Di tempat ini juga memberi kesaksian kisah agung kecintaan ibu kepada anaknya hingga perlakuan itu dijadikan sebagai salah satu rukun umrah dan haji – itulah Saei. Juga Allah jadikan ruang Hijr Ismail ruang terpilih yang diiktiraf sebagai sebahagian dari Kaabah – ia adalah tempat berteduh yang Nabi Ibrahim sediakan untuk Hajar dan Ismail sebelum meninggalkan mereka. Ia lambang kasih Ibrahim kepada Hajar.  Ini ruang hotspot berdoa.  Allah anugerahkan pula dengan air yang tidak bisa kering terbit dari tunjahan kaki kecil Nabi Ismail yang kehausan - Zam-Zam yang mengalir di sini tiada hentinya, penghilang dahaga, pengubat jiwa, penyembuh penyakit.. Hebat sungguh kisah kecintaan dan perjuangan insan-insan mulia di sisi Allah – membentuk ibadah, mencipta ruang hotspot doa, melakar jejak yang kekal di Baitullah untuk kita amali dan hayati. Dan kita akan rasai mereka dekat dengan kita hanya bila kita berada di sini.. Di Masjidil Haram… Datanglah ke sini sahabat-sahabatku sementara masih bernyawa, kerana sesungguhnya kita semua mampu dari segi kewangan. Yang kita mungkin lebih perlukan ialah kemampuan atau kekuatan rohani untuk membawa kita ke sini – berdoalah kepadaNya semuga kita di anugerahkan kekuatan itu.. Paling tidak untuk menyempurnakan roh Islam kita dengan terpacaknya tiang ke lima iaitu menunaikan haji..

Aku memang rasa tak sabar untuk memulakan dan menyelesaikan ibadah umrah ini. Kedudukan hotel kami lebih kurang 200 meter dari Masjidil Haram. Kami bergerak ke Masjidil Haram dalam kumpulan yang diketuai mutawif Ustaz Taufik. Bila keluar saja ke jalan besar menuju Masjidil Haram ramai orang berpusus-pusu berjalan menuju ke masjid. Dari kejauhan sudah dapat ku lihat cahaya terang dari Masjidil Haram. Jelas kedengaran solat tarawih sedang berjalan dengan diimamkan oleh imam2 muda, mungkin Al-Gehny atau Juhaidy. Aku hanya kenal suara imam2 senior sahaja. Nyaring laungan bait-bait Al-Quran dari juzuk 20 dibaca menandakan malam ke-20. Aku terpaksa melepaskan sahaja solat tarawih malam ini, kerana perlu menyelesaikan ibadah umrah hari ini juga memandangkan malam sudah agak lewat. Tarikan kuat menggetar dada, ianya semakin dekat.. Aku teruskan talbiyah dan bila pintu King Abdul Aziz aku langkaui, doa masuk masjid ku baca.. Tersergam indah struktur Baitullah yang aku rindui.. PAUSE.. Terasa nafas aku turut berhenti. PAUSE.. Mata terpaku di situ. PAUSE lagi. Andainya aku computer, processor ku ini bagai tersekat-sekat. Di depan mataku bukan lagi sekadar wall-paper di computer mahupun handphone. Aku bukan lagi memandang result dari search images ‘kaabah’ di-google image.. Ini live. Tempat ini lambang keagungan Mu. Ianya memang indah khabar, namun indah lagi rupanya. Memandangnya sahaja sudah mendapat pahala, apalagi beribadah di hadapannya.. Kalau pahala setiap ibadah yang dilakukan di sini dapat dilihat, pasti tertimbus jutaan pengunjungnya di liputi pahala – bagai tertimbus kulit2 kerang oleh pasiran di pantai. Setiap ibadah ganjarannya 100,000 kali ganda!! Kutiplah sebanyak mungkin. Buku akaun tu bukannya ada apa sangat pun. Anugerah terindah. Rahmat Allah memang tiada tandingan.

Ramai juga rupanya jemaah yang bertawaf semasa tarawih. Kemas lengan hubby ku pegang kerana jamaah berkumpulan agak keras melanggar apa saja di hadapan. Perlahan langkah aku dan hubby mencari garisan Hajarul Aswad. Ah..rupanya tiada lagi garisan hajarul aswad..itu 10 tahun yang lalu. Harus pandai menelah bila tawaf bermula dengan berpandukan lampu hijau dan rukun Hajarul Aswad. Berniat Tawaf – Tiada apa yang dapat aku gambarkan bila Allah memberikan aku peluang menjadi tetamunya sekali lagi. Tiada kata yang dapat aku ucapkan, perasaan terharu, gembira dan rendah diri terhadapNya kerana aku berada di sini. Semasa di Malaysia, aku berkesempatan melihat terawih dan tawaf yang disiar secara live di Oasis bermula jam 1 pagi .. Tapi hari ini, hari ke-20 aku berada dicelahan ribuan umat bertawaf – live ke Oasis dan rangkaian2 TV Arab. Tapi itu tidak penting. Aku sudah live di sini… Live from Baitullah...Every moment is treasured… Jika dibandingkan waktu haji, pusingan tawaf ini tidaklah begitu besar tambah dilakukan semasa berterawih. Kami siap dalam masa 20 minit. Pada waktu ini kami telah terpisah dari rakan sekumpulan. Sesudah tawaf kami bersolat di Multazam. Setiap langkah tawaf ini bagai melalui jejak Ibrahim. Dari Baitullah dan Multazamnya, Makam Ibrahim dan Hijr Ismail. Namun ruang ke telaga Zam-Zam sudah ditutup. Mungkin untuk mengurangkan halangan bertawaf… Berpeluang bersolat selari dengan Multazam – aku sebak.. Terasa dekat denganNya. Kedudukan Baitullah selari dengan Arash Allah di langit. Mana mungkin tidak terasa hampirnya Dia. Seterusnya kami berhimpit untuk masuk ke Hijr Ismail. Hijr Ismail adalah sebahagian dari struktur Kaabah. Jadi, bersolat di sini bagai bersolat di dalam Kaabah. Semasa Aisyah ingin masuk ke Kaabah untuk bersolat, Rasulullah bersabda: “Masuklah ke dalam Al-Hijr (Hijr Ismail) kerana di dalamnya merupakan sebahagian dari Kaabah,” (Al-Nasaei 2912). Masyaallah – aku terlalu sebak berada di ruang kecil berbentuk semi-circle ini. Setiap ruang waktu di ruang yang terpilih ku penuhi dengan doa…

Keluar dari Hijr Ismail - kami ke rukun seterusnya iaitu ibadah saei. Ibadah Saei lebih senang kerana tidak banyak syarat-syarat bagi ibadat ini, sekadar berjalan dari Safa ke Marwah, namun jaraknya bukan dekat iaitu lebih kurang 700m satu lap, dan tujuh lap memberi kami pengalaman Hajar sebanyak 4.2 km. Yang pasti jalanan kami tidak seperit Hajar - berjalan di padang pasir di bawah terik mentari naik turun bukit Safa dan Marwah. Kami pula berjalan di atas marmar sejuk dengan deruan aircond yang cukup menyamankan dan disediakan dalam versi 3 tingkat, boleh pilih mana-mana tingkat yang disukai, dan siap ada escalator. Tentu tidak wajar untuk dibandingkan dengan Hajar… Pun begitu, selesai lap yang ke tujuh, kami lega. Dan tanpa bertangguh aku terus bertahallul dengan bergunting. Kami perlu melintasi ruang tawaf sekali lagi untuk balik ke Hotel. Berhenti dan duduk sekejap di dataran Kaabah untuk memandang rumah Allah yang dirindui. Kami mendongak ke atas melihat Royal Tower Clock – menara jam yang tertinggi di dunia menunjukkan hampir jam 12 malam. Ahh.. dah selesai baru perasan jam yang baru siap Ramadhan ini.. Kawasan dataran longgar kerana terawih sudah selesai. Kami beredar.  Sampai di pintu Masjid – sekali lagi kasut tiada (di Madinah 2 pasang kasut ku kena rembat). Aku lupa undang-undang di sini perlu letak kasut ditempat yang disediakan atau bawa saja bersama ke tempat solat. Di dataran luar masjid, beratus-ratus kasut yang dihumban keluar berserakan..aku pasti comfort shoes SnowFly kesayanganku sudah dirembat.. tak ape lah..sedekah ajer la… Aku dan hubby balik berkaki ayam. Sebelum sampai hotel sempat kami beli selipar jepun berharga 5 Riyal.. Sampai di hotel hampir jam 1 pagi, aduhai beg belum sampai. Aku terus tertidur. Hubby kejut sahur, beg belum sampai jugak – hampir subuh baru beg sampai, aku terpaksa pass pergi berjamaah di Masjid kerana pakaian terlalu kotor. Hubby pergi orang… Ini sebahagian cubaan. Pasrah


…Bersambung…

Tuesday, November 9, 2010

Travelog Umrah 8 - Jalan Menuju Puncak..

Lebih kurang jam 10:00 pagi kami sudah siap berpakaian ihram dan turun menunggu bas di lobi.  Beberapa kali tertidur di sofa empuk lobi hotel, akhirnya bas yang sepatutnya tiba jam 10:00 pagi, datang juga pukul 11:30 pagi.  Ibadah umrah pertama kami sebenarnya bermula seawal pagi sebaik kami mandi sunat ihram.  Hari ini pastinya hari yang panjang dalam perjalanan menuju puncak..

Miqat bagi jemaah yang datang dari Madinah ialah di Masjid Bir Ali yang terletak du DZul Hulaifa, 21 Km dari kota Madinah. Berbanding 10 tahun lepas, masjid ini sudah diubahsuai – lebih luas, bersih dan cantik. Memang wajar tempat ini diberi penjagaan lebih kerana semua jemaah dari Madinah pastinya singgah di sini untuk berniat umrah, mengambil sunnatul Rasulullah SAW. Ramai juga yang mandi sunat ihram di sini sebelum solat sunat ihram. Namun kami dinasihatkan mandi di hotel dan terus memakai pakaian ihram. Jadi singgah di sini hanya untuk solat sunat ihram dan seterusnya berniat umrah.

Lanskap cantik di Masjid Bir Ali - ini ialah laluan ke tempat mandi dan berwudhuk
Jamaah Turki di Bir Ali
Setelah selesai solat kami terus menunggu di dalam bas. Sebelum bas bergerak kami terus berniat umrah. Sesekali terasa debaran menolak injap jantung memaksa ia berdegup deras.. Berada dalam ihram memang begini perasaannya. Namun, seperti kata Ustaz Abdul Basit di dalam Tanyalah Ustaz tentang haji 3 minggu lalu, kita sebenarnya terlalu dan selalu ditakutkan semasa kursus haji tentang kepayahan bila berada dalam ihram yang dikatakan banyak pantang larang. Sebenarnya pantang larang dalam ihram tidaklah susah, apatah lagi bagi wanita. Tapi sebab kita selalu ditakut2kan, menyebabkan kita rasa ihram itu membebankan. Dia menegur juga segelintir pembimbing haji yang memberatkan larangan ringan – contohnya mencabut bulu itu memang kena dam, tapi kalau gugur sendiri itu tidak kena dam. Begitu juga pakai minyak wangi itu kena dam, tapi pakai barangan pembersih seperti sabun atau ubat gigi berbau wangi itu tidak termasuk. Aku amat setuju pendapat Dr. Abdul Basit kerana semasa aku kursus haji dulu banyaknya kena dam, macam senang sesangat nak kena dam. Tapi tak tahu lah kalau sekarang ni dah berubah. Kekadang perkara begini adalah 'pelemah semangat' ibadah haji mahupun umrah termasuk bagi aku sendiri. Ditambah lagi banyak cerita-cerita 'balasan cash' dari Mekah yang dihidangkan di majalah2. Maklumlah kita manusia yang banyak berdosa kepadaNya, ada semacam perasaan ketakutan kalau2 Allah membalasNya di sini. Namun pada pengamatanku, andai kita sudah banyak mohon keampunan dan ikhlaskan niat kita ke sini, kena yakin Allah akan mudahkan kita. Kalau Allah balas pun, yang ringan2 sajalah yg Allah bagi…kira OK la tu..Balasan yang berat2 seperti yang tersiar di Majalah Mastika dan sebagainya itu sebenarnya sangat2 jarang berlaku. Jadi yakinlah dengan rahmat Allah bagi sesiapa yang berdoa dan memohon padaNya..

Sebelum kami bertolak sebenarnya azan Zohor sudah berkumandang di Masjid Bir Ali. Tapi aku keliru kenapa Ustaz Mail mahu juga teruskan perjalanan – katanya kita solat di tengah jalan nanti. Kecewa juga aku, kerana tempat berhenti di tengah padang pasir menuju ke Mekah persis ‘in-the-middle-of-nowhere’ sememangnya tidak terjaga langsung. Tandasnya sangat kotor dan musolla tidak terjaga. Tidak dapat nak banding langsung dengan kemudahan R&R setiap 50 km atau kurang di PLUS Highway. Hairan juga kenapa tak ada orang nak suggest kepada kerajaan Arab Saudi untuk adakan kemudahan R&R yang lebih selesa memandangkan bukan sedikit jemaah yang melalui highway ini. Sudahlah…mungkin jalan ini yang telah ditetapkan Allah untuk rombongan kami. Ikut sajalah. Doa agar perjalanan ini lancar… Bertalbiah kami bersama Ustaz Mail dengan pelbagai irama..

Labbaikallahummalabbaik..kami sahut panggilanmu Ya Allah,
Labbaikalasharikalakalabbaik.. kami sahut, tiada sekutu bagi mu Ya Allah, kami sahut,
Innalhamda wannikmata lakawalmulk…Sesungguhnya pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu,
Lasyarikalak… Tiada sekutu bagi Mu..

Aku tertidur di dalam talbiahku. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi kuat dari tayar belakang. Astaghfirullah.. Not again..Perkara yang aku bimbang berlaku juga. Hmm..teringat aku tentang lintasan hati yang jadi kenyataan.  Banyak kali berlaku di perjalanan haji yang lepas. Istighfar. Bas diberhentikan dan setelah diperiksa ada masalah tayar. Bas senget sebelah. Drebar bagaimanapun meneruskan perjalanan tapi bergerak perlahan. Bergerak sekadar untuk mencari tempat repair. Inilah yang dikatakan perjalanan yang terduga di tengah padang pasir yang tiada apa2, yang ada cuma sinaran terik matahari memancar melangkaui 40 darjah celcius. Sewaktu kejadian, kami mungkin baru 100 km dari Madinah - baru 1/3 perjalanan... Ada 200 km berbaki.. Istighfar dan talbiah sajalah yang mampu aku bisikkan, mohon Allah mudahkan. Kenapa aku katakan ‘Not Again…’ pada awalnya? Kerana 3 kali perjalanan ku dari Madinah ke Mekah diuji dengan perkara yang sama. 1999, 2000, 2010. Pasti ada masalah kenderaan. 1999 – coaster kami ada masalah enjin – tak dapat bergerak laju setelah setengah perjalanan. 2000 – perkara sama berlaku kepada bas kami beberapa ketika, namun Alhamdulillah penyakit itu sembuh dengan laungan talbiah. 2010 – tayar pula bermasalah. Itulah dinamakan dugaan. Buntu tapi aku pasrah...Ini kifarah..Adakah kerana ada suara2 sumbang didalam bas yang tanpa segan silu mengutuk2 ulama tersohor Malaysia. Dan kifarahnya terkena kepada semua. Wallahualam….

Setelah 20 km bas bergerak perlahan, terjumpa juga satu kawasan stop-over di tengah padang pasir, keadaanya seperti koboi town di pedalaman Mexico. Jangankan dibanding dengan pedalaman Mexico, dengan hentian minyak Caltex buruk di La’loh (koboi pit-stop dari Gua Musang ke Kuala Kerai) pun jauh lebih baik dari itu. Rugi rasanya tak ambil gambar untuk tatapan you all. Masa tu macam dah takde mood dah lagi nak ambil gambar. Aku yang memang cerewet bab bilik air ni memang tawakal sajalah ambil air sembahyang di bilik air yang airnya mengalir halus. Tak masuk pun tandas sebab gerun nak bayangkan keadaannya. Nasib baik puasa, sistem perkumuhanku dalam mod pasif. Sementara menunggu bas dibaiki, kami duduk di musolla yang dhoif - sangat dhoif - hampir dua jam. Mungkin inilah rahmatNya, dapat jugalah habiskan mengaji Al-Quran. Kami naik semula ke dalam bas dengan keadaan bas yang masih senget walaupun dah dibaiki, kami teruskan perjalanan dalam kesengetan…Gusar.  Istighfar. Talbiyah. Apa lagi kalau bukan itu.

Aku rasa lega bila mutawif mengatakan bas baru sudah dihantar dari Mekah, dan kami akhirnya bertukar bas di jarak 80 km sebelum sampai ke Mekah. Jam menunjukkan jam 5:30 petang waktu itu. Beg terpaksa ditinggalkan dalam bas asal dan kami dahulu yang pergi. Beg akan menyusul kemudian. Terpaksa redha dengan arrangement sebegini. Ini susun atur perjalanan kami yang Allah dah tetapkan. Kami berbuka puasa ringkas di atas bas (Perut aku tidak faham makna buka puasa ringkas – memberontak lagi).

Semakin menghampiri kota suci Mekah - perasaan bagai ingin berjumpa orang yang dirindui...
Hilang sudah rasa gundah bila sudah berada di atas bas baru… Semakin dekat, semakin bercahaya kota suci itu dari kejauhan. Trafik di dalam kota Mekah sememangnya sesak kerana banyak kenderaan menuju ke sini dan banyak pula jalan yang tutup. Tambahan pula ini malam 20 Ramadhan, malam pertama qiayamullail diadakan di Masjidil Haram. Kami diberhentikan dalam 500 meter dari hotel yang dipajak penuh oleh Andalusia iaitu Hotel Abeer Garden. Alhamdulillah tiba juga kami di Hotel walaupun ada beberapa perkara yang tak selesai iaitu bilik belum siap kemas dan beg pula belum sampai. Setelah berbuka (this time with real food) dan solat jamak Maghrib-Isya’..akhirnya kemuncak yang kami tunggu tiba jua…ya..umrah yang dinanti bakal kami selesaikan..

…Bersambung…

Monday, November 1, 2010

Travelog Umrah 7 - Wida' Yang Mengharukan, Qudum Pengubat Jiwa..

Hari kelima iaitu 19 Ramadhan/29 Ogos 2010 bermakna tibanya hari untuk aku pergi meninggalkan kota suci Madinah.  Perasaan bercampur-baur antara sedih dan gembira.  Sedih kerana waktu wida' sudah tiba.  Tapi ia juga bermakna waktu qudum kian ku hampiri dan itulah kemuncak perjalanan ini.  Wida' atau selamat tinggal perlu ku ucapkan kepada Rasulullah dan qudum atau ketibaan ku ke Rumah Allah..

Setiap jamaah yang akan meninggalkan Masjid Nabawi disunatkan berziarah wida' ke makam baginda.  Ziarah ini ialah sebagai mengucap selamat tinggal kepada baginda Rasulullah SAW.  Tuntutan ini tidaklah berat sebab mengucap selamat tinggal kepada Kekasih Allah ini boleh dibuat dari mana-mana tempat di dalam Masjid Nabawi, waima di dataran Masjid berhampiran kubah hijau.  Namun tempat yang paling afdhal tentulah kawasan Raudhatul Jannah yang dihampar karpet berwarna hijau dan berkeluasan lebih kurang 22X15 meter per segi di sekeliling makam Rasul SAW. Namun untuk masuk ke ruang terpilih ini dalam kesuntukan masa memang mencabar.  Ini kerana kalau betul2 ikut  queu, jemaah Malaysia biasanya kumpulan akhir yang boleh masuk.  Disebabkan bas kami akan bertolak dalam pukul 10 pagi,  aku terpaksa berpuas hati berwida' di luar kawasan Raudhatul Jannah atau Taman Syurga. 
Self-snap picture yang aku ambil sementara menunggu laluan ke Raudhah lengang..
Apabila pintu menuju Raudhah dibuka tepat jam 7 pagi, berlari laju jemaah2 wanita yang tak nak ikut queue, kebanyakan dari mereka lasak mennerjah.  Jadi aku terpaksa tunggu sebentar sehingga first minute rush selesai.. Badan mereka besar2 dan mereka tiada hemah, namun itulah jati diri mereka yang dibawa dari negara masing2.  Yang mereka tahu mereka ingin berada di situ..ruang itu terbatas, namun ia adalah antara tempat yang paling makbul berdoa.
 
Lorong menuju ke Raudhah akan lengang selepas
setengah jam pintu Raudhah di buka
Setelah keadaan agak reda, aku mula melangkah perlahan - tenang -  terus2an berselawat ke atas junjungan kita Muhammad diiringi rasa haru dan sayu.  Aku hanya mampu memberi lambaian terakhir lebihkurang 10 meter dari kawasan Raudhah kerana askar2 masjid tegas menghalang jemaah bertelekung putih yg memang dia ketahui berasal dari Malaysia untuk masuk ke Raudhah semasa jemaah dari negara2 yang sukar dikawal berada di situ.  Tak apalah, dari kejauhan aku masih nampak makam baginda...Ya HabibAllah ya Rasulullah... tiba masanya untuk aku meninggalkan tempat perjuangan mu.. Ku mohon shafaat mu ya Rasulullah di padang Mahsyar untuk membawa aku dan ahli keluargaku ke syurga jannah, kerana Allah mengurniakan kepadamu syafaat untuk menolong kami, umatmu yang sentiasa leka dengan duniawi dan manusiawi..

Seusai bersalawat selamat tinggal dan berdoa, perlahan-lahan aku berundur meninggalkan makammu.. Wida' ini sungguh menyayat.. Namun aku bakal menuju kepada Qidam - kepada puncak perjalananku ini - lambaian itulah yang mengubat jiwa...

Ya Allah...berilah kelapangan masa, kesihatan dan rezki untuk aku dan suamiku untuk ke sini lagi...

....Bersambung...