Lebih kurang jam 10:00 pagi kami sudah siap berpakaian ihram dan turun menunggu bas di lobi. Beberapa kali tertidur di sofa empuk lobi hotel, akhirnya bas yang sepatutnya tiba jam 10:00 pagi, datang juga pukul 11:30 pagi. Ibadah umrah pertama kami sebenarnya bermula seawal pagi sebaik kami mandi sunat ihram. Hari ini pastinya hari yang panjang dalam perjalanan menuju puncak..
Miqat bagi jemaah yang datang dari Madinah ialah di Masjid Bir Ali yang terletak du DZul Hulaifa, 21 Km dari kota Madinah. Berbanding 10 tahun lepas, masjid ini sudah diubahsuai – lebih luas, bersih dan cantik. Memang wajar tempat ini diberi penjagaan lebih kerana semua jemaah dari Madinah pastinya singgah di sini untuk berniat umrah, mengambil sunnatul Rasulullah SAW. Ramai juga yang mandi sunat ihram di sini sebelum solat sunat ihram. Namun kami dinasihatkan mandi di hotel dan terus memakai pakaian ihram. Jadi singgah di sini hanya untuk solat sunat ihram dan seterusnya berniat umrah.
Lanskap cantik di Masjid Bir Ali - ini ialah laluan ke tempat mandi dan berwudhuk |
Jamaah Turki di Bir Ali |
Sebelum kami bertolak sebenarnya azan Zohor sudah berkumandang di Masjid Bir Ali. Tapi aku keliru kenapa Ustaz Mail mahu juga teruskan perjalanan – katanya kita solat di tengah jalan nanti. Kecewa juga aku, kerana tempat berhenti di tengah padang pasir menuju ke Mekah persis ‘in-the-middle-of-nowhere’ sememangnya tidak terjaga langsung. Tandasnya sangat kotor dan musolla tidak terjaga. Tidak dapat nak banding langsung dengan kemudahan R&R setiap 50 km atau kurang di PLUS Highway. Hairan juga kenapa tak ada orang nak suggest kepada kerajaan Arab Saudi untuk adakan kemudahan R&R yang lebih selesa memandangkan bukan sedikit jemaah yang melalui highway ini. Sudahlah…mungkin jalan ini yang telah ditetapkan Allah untuk rombongan kami. Ikut sajalah. Doa agar perjalanan ini lancar… Bertalbiah kami bersama Ustaz Mail dengan pelbagai irama..
Labbaikallahummalabbaik..kami sahut panggilanmu Ya Allah,
Labbaikalasharikalakalabbaik.. kami sahut, tiada sekutu bagi mu Ya Allah, kami sahut,
Innalhamda wannikmata lakawalmulk…Sesungguhnya pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu,
Lasyarikalak… Tiada sekutu bagi Mu..
Aku tertidur di dalam talbiahku. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi kuat dari tayar belakang. Astaghfirullah.. Not again..Perkara yang aku bimbang berlaku juga. Hmm..teringat aku tentang lintasan hati yang jadi kenyataan. Banyak kali berlaku di perjalanan haji yang lepas. Istighfar. Bas diberhentikan dan setelah diperiksa ada masalah tayar. Bas senget sebelah. Drebar bagaimanapun meneruskan perjalanan tapi bergerak perlahan. Bergerak sekadar untuk mencari tempat repair. Inilah yang dikatakan perjalanan yang terduga di tengah padang pasir yang tiada apa2, yang ada cuma sinaran terik matahari memancar melangkaui 40 darjah celcius. Sewaktu kejadian, kami mungkin baru 100 km dari Madinah - baru 1/3 perjalanan... Ada 200 km berbaki.. Istighfar dan talbiah sajalah yang mampu aku bisikkan, mohon Allah mudahkan. Kenapa aku katakan ‘Not Again…’ pada awalnya? Kerana 3 kali perjalanan ku dari Madinah ke Mekah diuji dengan perkara yang sama. 1999, 2000, 2010. Pasti ada masalah kenderaan. 1999 – coaster kami ada masalah enjin – tak dapat bergerak laju setelah setengah perjalanan. 2000 – perkara sama berlaku kepada bas kami beberapa ketika, namun Alhamdulillah penyakit itu sembuh dengan laungan talbiah. 2010 – tayar pula bermasalah. Itulah dinamakan dugaan. Buntu tapi aku pasrah...Ini kifarah..Adakah kerana ada suara2 sumbang didalam bas yang tanpa segan silu mengutuk2 ulama tersohor Malaysia. Dan kifarahnya terkena kepada semua. Wallahualam….
Setelah 20 km bas bergerak perlahan, terjumpa juga satu kawasan stop-over di tengah padang pasir, keadaanya seperti koboi town di pedalaman Mexico. Jangankan dibanding dengan pedalaman Mexico, dengan hentian minyak Caltex buruk di La’loh (koboi pit-stop dari Gua Musang ke Kuala Kerai) pun jauh lebih baik dari itu. Rugi rasanya tak ambil gambar untuk tatapan you all. Masa tu macam dah takde mood dah lagi nak ambil gambar. Aku yang memang cerewet bab bilik air ni memang tawakal sajalah ambil air sembahyang di bilik air yang airnya mengalir halus. Tak masuk pun tandas sebab gerun nak bayangkan keadaannya. Nasib baik puasa, sistem perkumuhanku dalam mod pasif. Sementara menunggu bas dibaiki, kami duduk di musolla yang dhoif - sangat dhoif - hampir dua jam. Mungkin inilah rahmatNya, dapat jugalah habiskan mengaji Al-Quran. Kami naik semula ke dalam bas dengan keadaan bas yang masih senget walaupun dah dibaiki, kami teruskan perjalanan dalam kesengetan…Gusar. Istighfar. Talbiyah. Apa lagi kalau bukan itu.
Aku rasa lega bila mutawif mengatakan bas baru sudah dihantar dari Mekah, dan kami akhirnya bertukar bas di jarak 80 km sebelum sampai ke Mekah. Jam menunjukkan jam 5:30 petang waktu itu. Beg terpaksa ditinggalkan dalam bas asal dan kami dahulu yang pergi. Beg akan menyusul kemudian. Terpaksa redha dengan arrangement sebegini. Ini susun atur perjalanan kami yang Allah dah tetapkan. Kami berbuka puasa ringkas di atas bas (Perut aku tidak faham makna buka puasa ringkas – memberontak lagi).
Semakin menghampiri kota suci Mekah - perasaan bagai ingin berjumpa orang yang dirindui... |
…Bersambung…
No comments:
Post a Comment